2005/03/28
Bhgn 2: Tanpa Terduga
Sudah lebih dua bulan Merly mengenali Adam. Dia senang bersama lelaki itu. Mereka berdua senang berkongsi cerita, dan boleh bercerita mengenai apa sahaja. Tidak ada konflik selain daripada tidak bersetuju dengan pandangan satu sama lain kadang kala. Walaupun begitu, mereka menjadi rapat. Perbezaan di antara mereka tidak dapat mengatasi persamaan dari segi pemikiran dan penerimaan sesuatu. Perbezaan itu seperti melengkapi kedua-dua diri insan yang berkongsi minat membaca dan menulis di masa lapang.
Sejak pertemuan di pusat membeli belah dahulu, Adam tidak pernah putus menghubungi Merly, hampir setiap hari. Selalunya mereka akan keluar pada hujung minggu dan mungkin makan malam bersama beberapa malam dalam seminggu. Merly tahu dia mula menyukai Adam lebih dari seorang kawan. Tetapi, dia tidak mungkin berani bersuara dahulu. Tidak mungkin dia sanggup mencemari persahabatan mereka hanya kerana dia tidak berupaya mengawal perasaannya sendiri. Dia yakin Adam menerimanya secara jujur sebagai seorang teman biasa.
Hati kecil wanita di dalam dirinya yang sering dianggap naif, bahkan oleh dirinya sendiri, tidak diendahkan. Merly bersungguh-sungguh melawan perasaan romantis yang mempercayai kehidupan bahagia selama-lamanya. Seperti Cindrella yang berjumpa dengan puteranya atau si itik hodoh yang bertukar menjadi angsa menawan. Merly tidak mungkin akan tewas lagi dengan perasaan keanak-anakan itu. Itu janji Merly pada dirinya sendiri.
* * *
Adam melihat kembali apa yang telah ditaip di skrin komputernya. Dia membaca semula satu persatu perasaannya yang diluahkan ke dalam jurnal digitalnya. Selesai membaca dia seperti tidak mempercayai itu tulisannya sendiri. Bukankah dia seorang yang skeptik? Bukankah dia enggan mempercayai bahawa seorang wanita mampu berlaku jujur? Bukankah semua gadis yang pernah ditemuinya selama ini hanya inginkan kebendaan yang mampu dia berikan kepada mereka?
Tapi Merly lain. Merly tidak seperti gadis-gadis lain yang pernah dia kenali. Merly jujur. Tanpa rahsia. Benarkah? Merly tidak pernah mengatakan bahawa kebendaan bukan satu kepentingan dalam perhubungan. Merly katakan dia realistik. Tapi mungkin itu hanya taktik Merly untuk memikat aku? Hati Adam berdetik. NO! Tidak mungkin. Konsainsnya berlawanan sesama sendiri. Keliru. Jari jemari tangan kirinya memicit-micit kepalanya yang tidak sakit.
Namun perasaan Adam sudah berubah. Dia tidak pernah menyangka itu akan berlaku. Dia tidak pernah menyangka, hati yang tertutup akan kembali terbuka. Dia... sayang Merly. Dia tidak akan biarkan gadis itu terlepas ke tangan orang lain. Tidak sekali-kali. Adam skeptik. Tapi Adam juga percaya, perkara sebegini tidak mungkin boleh berulangkali terjadi. Dan kiranya ini adalah satu lagi ujian, dan dia akan kecewa, dia tidak peduli. Dia mesti mencuba.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment